07 December 2010

Singkat

Hidup kita memang dapat kita rasa seakan panjang.Tapi,singkat benar.Sesingkat kain-kain belah peha kakak-kakak kerajaan.Kita menyangka kita akan hidup selama 70 tahun.Ada yang menyangka akan hidup sehingga 100 tahun.Ada pula menyangka akan terus hidup sehingga 60 tahun seperti Rasulluallah S.A.W yang di sayangi juga dikasihi.

Pelbagai cara manusia meraikan hakikat hidup ini.Bagi aku sendiri,kita ini tak hanya sekadar terlalu sebentar di dunia.Dunia yang bagi aku kadang kala sangat indah.Dengan segala macam makhluk.Segala macam hidupan.Segala jenisan bunyi-bunyian.Segala macam bau-bauan.Segala jenis manusia.Segala macam sifat dan sikap.Segala macam gerakan.

Sungguh aku kagum dan gembira kerana aku ini diberi kesempatan untuk ada di sini Ya Rabb.Selama aku diberi nyawa,hanya nyawa ini.Terus aku melihat dan melihat.Sendirian aku menilai.Berbekal hanya sedikit ilmu dunia dan juga sedikit ilmu Islam.Aku tak dapat atau tidak menyatakan yang aku akui aku akan hanya sebentar di sini.Dan itu hakikat yang aku rasa harus setiap manusia;sama ada kau beriman atau tidak percaya.

Hakikat bahawa dunia tidak hanya tempat sementara.Untuk kita mencari bekal bagi hidup abadi selepas ini.Tempat kita mencari cangkul,tanih subur,sumber air,kudrat bagi kita bercucuk-tanam menanam apa sahaja tanaman yang kita mahu dan senangi.Kubis,tembikai,kangkung,pulasan juga.Ini semua ditanam yang tentunya dengan penat dan lelah.Peluh berjurai-jurai meleleh.Di dahi,kelengkang,di semua tempat yang bisa kau fikirkan.Penat.Berjemur seharian,tertegak matahari atas kepala.

Penat menanam,akan ada sampai suatu ketika dan masa semua tanaman akan memberikan tuaian.Memberikan hasil.Dan pada ketika ini,semua manusia termasuk aku akan merasa suka dan ria.Tetapi,jalan untuk ke sini bukan mudah.Bukan hanya dengan sibuk ber-bb getah pink,bukan dengan mempersembahkan Power Point bagaimana mahu menjana pendapatan 15 angka,bukan apa-apa.

Semuanya daripada usaha juga penat lelah.Penat menanam.Penat mencangkul.Penat tidak mandi.Penat menggambus tanih dan pelbagai usaha yang memungkinkan mata melihat rumputan hijau hasil tanaman.

Ini cuma analogi atau perbandingan untuk hidup kita di dunia ini.Sekadar sekejap,singkat,sebentar.Mahu atau tidak,inilah yang akan terjadi dan berlaku.Tak tahu ke mana kita.Di sana kelak.Di mana tempat kita.Sempat atau tidak merasa dingin tembikai merah tanpa biji.Persoalannya,mana mungkin akan wujud tembikai merah ini?Secara magis?Ilmu hitam?Sebab kau dahulu anak raja?Sebab dulu kau Menteri Besar?Sebab kau dulu anarkis?

Bukan sebab apa.Sebab amalan yang kita usahakan sementelah kita di dunia.Mengingatkan diri aku sendiri yang utama dan yang mana yang sudi membaca.Mari kita baiki diri sendiri.Dan aku faham benar.Aku sendiri bukan betul mana.Solat ada yang kurang sifat dan bilangannya.

Tapi,aku sekadar mari bersama-sama menulis.Bahawa dunia serba indah ini sekadar hanya sementara.Terlalu sementara.Umpama saat kau menguap.Nikmat menguap.Sekali menguap,habis.Itu lah dunia dan sifatnya.

Mahu tidak mahu aku perlu memula kerja.Aku mahu membeli cangkul dan mencari tanih yang terpilih.Biar kelak dapat aku tuai hasilnya.Insya Allah.Dengan izin Allah Azza Wajalla.

No comments:

Post a Comment