18 January 2011

Sisi Sudut Ini

Memandang aku jauh hal yang dekat,
Bau-bau rumput baru dipotong menerjah-nerjah,
Seakan mencari pasang-pasangannya di dalam hidungku,
Segar hijau mewarnai dalam kepala,
Termenung memandang aku ke satu sisi,
Terasa sunyi,
Gelap dan tiada siapa-siapa,
Hanya ada aku,
Aku mencari mana agaknya letak diri sendiri,
Mana mahu di bawa pergi diri,
Suatu masa yang akan datang nanti,
Aku pandang lagi kali ini,
Segala - galanya bergerak dan mencari-cari,
Aku terasa sendiri lagi,
Terasa mahu untuk tidak mahu,
Untuk membuat walau apa-apa,
Cuma mahu melihat-lihat,
Sambil melayan ketagih diri sendiri,
Aku sendiri tidak pernah tahu,
Apa dan bagaimana fikiran melarikan diri,
Bunyi-bunyian hanya akan terus ada,
Jasad tubuh dan ruh aku bersenyawa,
Membentuk bentuk sendiri,
Membawa aku terkadang terlalu jauh,
Namun aku masih berdiri sendirian,
Di situ keseorangan,
Melopong,
Ternganga tak punya apa-apa,
Sungguh ada sesuatu di hujung itu,
Sungguh nya aku pasti ada,
Moga jumpa juga aku kelaknya,
Mahu aku benar-benar jumpa,
Hayunan panjang,
Berdengung-dengung,
Memekak-mekak,
Satu nikmatnya kepada diri sendiri,
Sambil aku menghayati dunia,
Sementelah masa aku ada,
Aku menghayatkan diri,
Meloloskan diri,
Menerbangkan badan,
Melayang-layang,
Menembus tubuh-tubuh semuanya,
Menembus semua batu-batuan tertimpa,
Aku melanggar segala perkara,
Ke suatu tempat rahasia.

ditulis sepanjang masa lagu ini berlangsung sendirian.

12 January 2011

Kemana Kau Selepas Ini?

Gerak lah kamu sahabat ku.Mari kita bermain-main lagi.Aku tak ingin bermain seorangan.

Hari ini untuk sekalian kalinya dalam hidup aku yang serba ringkas ini,aku hampir mengalir air mata lagi di atas boncengan Nouvo LC ku itu.Aku melalui jalan-jalan tar yang sama untuk ke tempat yang sama aku lalui hari demi hari.Semalamnya,aku lihat meriah sekali kiri dan kananku dengan anjing-anjing comel yang terbiar.Mereka dapat aku lihat bermain girang.Beriring-iringan ke sana sini.Menyalak-yalak kepadaku tanda mesra.Menjelir-jelirkan lidah panjang tanda kepanasan dan nampak comel di mata aku.

Aku yakin mereka masih ada disitu seperti biasa pada hari itu.Hari ini.Perkara yang pernah aku lihat,lihat lagi pada hari ini.Benar sekali firman Allah S.W.T.Kita yang hidup akan juga kembali kepadaNya melalui jalan kematian.Dari jauh aku lihat motosikal dihadapanku menabrak sesuatu yang aku kira cumalah sisa-sisa getah tayar yang biasa.

Rupa-rupanya seekor anjing comel dilanggar mati.Putus sudah nyawanya dari badan.Warna coklat gelap makhluk Allah itu aku tatap seberapa lama sementara aku masih dijalanan itu.Benar-benar ia sudah mati.Aku terasa sangat sesak di dada yang kecamuknya sukar aku perjelaskan.Sangat padat dan berhasillah menyemburkan air mata aku kali ini.Di sebalik visor telus topi keledarku,aku cuba menenang diri.Aku sendirian memikirkan hal demikian pula kepada diri aku sendiri.

Apa cukup bekalan aku di sini?Apa sudah banyak segala amalan hidupku?

Kejadian itu nyata normal bagi kebanyakkan.Tetapi,tidak pada aku.Jika berkesempatan.Jika aku diiizinkan.Mahu aku ketemu hai si comel di sana.Jaga diri dan aku sayangi kamu.

11 January 2011

Nak Juga Kau

Orang sibuk dengan pasukan Malaysia,kau pun nak sibuk juga.Orang sibuk Harimau Malaya,kau pun nak sekali juga.Orang sibuk minyak naik,kau pun nak beli minyak sampai 30 kilogram.Orang sibuk pakai foursquare,kau pun sibuk nak juga.Orang sibuk baca jejariruncing,kau pun sibuk nak tahu siapa kekasih Saudara Apek.Orang sibuk nak masuk kerja government,kau pun separuh mati dan jiwa mahu kerja kera jaan.

Semuanya mahu dan mahu dan mahu dan mahu.Bila kau nak mati?

Lesu,Lembab dan Tak Bermaya

Sudah lama aku tidak bergerak,memandang,melihat,mencium bau,meningat mana mampu dan akhirnya menulis kembali apa yang aku lihat tadi di sini.Agak lama,sebenarnya.Aku dalam jangkamasa yang tidak seberapa lama ini sudah seakan melalui satu pengalaman hidup yang sangat panjang dan lama.

Aku kadang kala seakan tidak mengerti apa sudah jadi kepada dunia,manusia-manusianya,hal-hal yang terjadi dan semuanya.Aku selalu mahu ambil tahu.Aku membaca segala macam surat khabaran dari tulisan manusia-manusia juga.Aku membaca beberapa buku-buku enak tulisan manusia-manusia juga.Akan aku cuba tulisakan kembali di sini pandangan serta pendapat aku mengenai makalah-makalah yang mutakhir ini sudah aku baca juga serba sedikit aku fahami.

Aku memang rasa sangat dekat dan sinonim dengan lembab.Gerak tubuh,rupa badan aku yang besar memang mudah menjadi penilaian manusia yang aku memang perlahan,lembab,tak aktif,kurang lincah,slow,lelah,kuda tua dan bermacam-macam gelaran yang dirasakan dekat dengan aku.

Kini,ianya kembali lagi.Seperti mana yang sudah aku jangka,kontrak diri bersama kerjaya mulia;Guru Kontrak telah ditamatkan tepat pada hujung tahun Masehi 2010 yang lalu.Jawatan Guru Kontrak telah ditamatkan dan terima kasih atas segala jasa anda.Titik.Aku menjadi semacam tak tahu berbuat apa-apa.Aku menjadi bodoh dan seakan malas.Aku kemabli lagi dalam era mencari-cari tapak hidup dalam kancah dunia pebuh dengan ketuhanan ringgit dan kertas-kertas kosong yang lain.

Aku benci mahu berpakaian kemeja "masuk dalam",menjinjit fail hitam keras ke sana-sini,menyusun segala tarikh temuduga,datang berpeluh-peluh kelengkang,kelengkang melecet merah,di tanya siapa nama,dari mana,kenapa suka kerja ini,di provokasi sehingga aku sangka dalam tahanan I.S.A,menjawab soalan-soalan menguji minda,akhirnya balik dan senyap sahaja.

Sungguh aku bosan nak mati.Aku tak suka dan aku terasa tersangkut hidup atas kitaran peringkat ini.Aku sangat letih.Tapi,seakan-akan aku perlu dan kena juga turuti kitaran agung ini.Aku perlu kerja,supaya aku punya wang,aku perlu wang untuk aku membeli segala macam hantaran,aku perlu wang untuk membayar hutang-hutang sial yang sepertinya tidak mahu habis,aku perlu wang untuk membeli tiket "couple seat",aku perlu wang untuk menjadi orang normal,aku perlu wang untuk menjadi sebahagian dari Wawasan 2020.

Aku perlu aku mengikut lagi haluan-haluan ini lagi?Manusia atau mesin aku ini?Mana pergi kemahuan diri dan cabaran diri?

Biar takdir meletakkan aku kemana.Aku hanya turuti.Selamat menulis kembali,sekadar masa lapang yang masih ada dan berbekas ini.